Banjir Nepal: Lebih 50 Rakyat Malaysia Gagal Dihubungi

HYDERABAD, 27 Ogos — Lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga susulan banjir dahsyat pada Rabu yang turut menyebabkan ratusan penduduk tempatan dan warga asing belum diketahui nasib mereka.

“Kami masih mengumpul maklumat mengenai rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi. 

“Ahli keluarga gagal menghubungi lebih 50 rakyat Malaysia,” kata Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu Mohd Firdaus Azman kepada Bernama lewat Rabu.

Firdaus berkata akses jalan raya ke kawasan berkenaan terjejas akibat banjir Sungai Bhote Koshi manakala kerajaan Nepal telah mengerahkan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa,” kata beliau sambil menambah bahawa sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang hilang berikutan kerosakan infrastruktur komunikasi.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang cuba mengesan saudara-mara atau rakan mereka perlu menghantar butiran pasport dan perjalanan individu terbabit melalui e-mel kepada Kedutaan Malaysia di mwkathmandu@kln.gov.my bagi tujuan penyelarasan.

Angka kematian akibat banjir melepasi 160 orang pada malam Rabu, manakala ratusan lagi termasuk pelancong serta anggota polis dan pasukan keselamatan Nepal masih belum diketahui nasib mereka.

Sekurang-kurangnya 142 rakyat India antara warga asing yang dilaporkan hilang.

Banjir akibat runtuhan salji itu menghanyutkan perkampungan, jambatan dan beberapa projek tenaga. 

Satu “kejadian seismik” bermagnitud 5.2 berlaku berhampiran sempadan Nepal-China pada 8.37 pagi waktu tempatan pada Rabu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) di laman sesawangnya.

“Kejadian ini pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi bermagnitud 4.4. 

“Analisis lanjut terhadap stesen seismik berhampiran, gelombang seismik jangka panjang dan imej satelit membawa kepada penentuan bahawa kejadian seismik itu sebenarnya ialah runtuhan glasier dan aliran puing, manakala tiada gempa bumi berlaku,” menurut USGS.

Menurut pihak berkuasa Nepal, banjir kilat yang datang dari arah China memasuki negara itu menerusi Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa.

Sebanyak 19 jambatan dan 40 kilometer lebuh raya musnah akibat banjir itu, menurut laporan Kathmandu Post.

Polis menghentikan pergerakan kenderaan dari Kathmandu menuju ke daerah Rasuwa, Nuwakot dan Dhading yang paling teruk terjejas.

Rakaman CCTV memaparkan bangunan dan kenderaan di pelabuhan sempadan Gyirong di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, musnah dibadai arus deras air dan lumpur.

Presiden China Xi Jinping mengarahkan usaha menyeluruh dilakukan bagi mengesan mereka yang hilang di wilayah berkenaan, kata Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong menerusi hantaran di X.

Tiga kematian dilaporkan manakala 265 orang hilang di China.

India menghantar pesawat C-130J membawa 10 tan barangan bantuan penting dan bekalan perubatan ke Nepal.

“Operasi udara tambahan menggunakan pesawat C-17 dan C-130 akan membawa bekalan bantuan selanjutnya, manakala helikopter diperuntukkan bagi operasi menyelamat dan pemindahan,” menurut Tentera Udara India menerusi hantaran di X.

Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman berkata negaranya bersedia “menghulurkan apa jua bantuan yang mungkin diperlukan Nepal ketika menghadapi kesusahan ini.”

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar berkata negaranya “berdiri teguh bersama kerajaan dan rakyat Nepal dalam saat sukar ini serta kekal bersedia menghulurkan segala bantuan yang termampu.”

Sementara itu, negeri Bihar dan Uttar Pradesh di India yang bersempadan dengan Nepal kini berada dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi banjir.

Kenaikan mendadak paras air Sungai Trishuli di Furke Khola, Nepal, kira-kira 160 kilometer dari sempadan India dilaporkan berlaku, menurut Kementerian Dalam Negeri India dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Kesan banjir itu dijangka menjejaskan kawasan hilir Sungai Gandak di India,” menurut kenyataan itu.