Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Botswana, Duma Gideon Boko di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, pemimpin kedua-dua negara telah mengumumkan peningkatan hubungan bilateral kepada perkongsian kerjasama strategik komprehensif.
Xi menzahirkan kesediaan China untuk memperkasa kerjasama dengan Botswana dalam bidang ekonomi digital, pertanian, penternakan dan lain-lain sambil bersinergi melaksanakan projek ‘pendidikan pintar’.
Xi turut mengemukakan saranan berhubung kerjasama perlombongan antara China dengan Afrika.
Beliau berkata kerjasama berkenaan mesti berasaskan prasyarat bahawa sumber Afrika dimiliki benua tersebut.
China bersedia berkongsi pengalaman dan membantu negara-negara Afrika merangka pelan pembangunan perlombongan yang selaras dengan keadaan negara masing-masing, di samping menggalakkan perusahaan domestik memindahkan teknologi hijau yang sesuai dengan keadaan Afrika.
Ujarnya, China akan terus memacu kerjasama perlombongan dengan Afrika ke arah nilai tambah industri yang lebih tinggi dan menerokai model pembiayaan inovatif yang mampu milik dan mampan.
Tambah beliau, sumber Afrika tidak sepatutnya dijadikan alat dalam kancah perlawanan geopolitik.
Sementara itu, Boko berkata Botswana bersedia memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan China, di samping mempergiat kerjasama dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta bidang industri, pertanian, perlombongan, inovasi dan tranformasi digital.
Tambah beliau, Botswana komited merapatkan koordinasi dan kerjasama dengan China bagi mempertahankan multilateralisme, memperkukuh perpaduan sesama negara membangun serta menggalakkan solidariti dan kolaborasi Afrika-China.











Tinggalkan Balasan