SEOUL, 8 Ogos — Kebanyakan bahagian Korea Selatan diramal panas terik susulan gelombang haba melampau dan bahang dijangka berterusan dengan paras tertinggi siang hari mencecah 37°C, menurut agensi perkhidmatan cuaca pada Sabtu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Hujan lebat sehingga 100 milimeter (mm) dijangka berlaku di bahagian pantai timur dan kawasan pergunungan di Wilayah Gangwon, manakala kawasan ibu kota yang lebih besar dan kawasan tengah juga akan menerima sehingga 40 mm hujan bertaburan mulai tengah hari, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Suhu dijangka berkurangan buat sementara waktu di kawasan yang dilanda hujan lebat namun haba dan kelembapan akan kembali semula sebaik hujan berhenti, tambahnya.
Paras tertinggi pada waktu siang diramalkan pada 26°C hingga 37°C, dengan suhu mencecah sehingga 35°C di kawasan metropolitan Seoul dan 36°C di pusat bandar Daejeon.
Pihak Berkuasa Trafik Jalan Raya Korea berkata ia akan mengurangkan atau menangguhkan ujian pemanduan buat sementara waktu di tengah gelombang haba yang berpanjangan, memetik kebimbangan mengenai penyakit berkaitan haba dalam kalangan peserta dan kakitangan.













Tinggalkan Balasan