Jepun Berjaya Lancar Roket H3 Bawa Satelit Penentu Kedudukan

TANEGASHIMA (Jepun), 11  Ogos — Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) pada Selasa berjaya melancarkan roket H3 dan menempatkan sebuah satelit penentu kedudukan ke orbit, menandakan kejayaan kedua berturut-turut roket utama Jepun itu selepas kegagalan pada Disember tahun lepas, lapor Kyodo News.

Roket H3 No. 9 berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima di Tanegashima, sebuah pulau kecil di barat daya Jepun, awal Selasa dengan membawa satelit penentu kedudukan Michibiki No. 7.

Satelit itu merupakan sebahagian daripada Sistem Satelit Kuasi-Zenit Jepun yang digunakan untuk menyediakan maklumat lokasi bagi telefon pintar dan sistem navigasi kenderaan.

Pelancaran itu pada asalnya dijadualkan Jumaat lepas, namun ditunda ke Isnin susulan taufan sebelum ditangguhkan sehari lagi akibat cuaca buruk di sekitar tapak pelancaran.

Pada Disember lepas, agensi itu melancarkan Michibiki No. 5 menggunakan roket H3 tetapi gagal menempatkan satelit berkenaan ke orbit, sekali gus menyebabkan pelancaran satelit No. 7 yang dirancang pada Februari turut ditangguhkan.

Kerajaan Jepun menyasarkan tujuh satelit seumpama itu berada di orbit bagi menyediakan perkhidmatan sepenuhnya tanpa bergantung kepada negara lain.