Lebih 20,000 Penduduk Diarah Berpindah Susulan Kebakaran Hutan Di Kanada

ISTANBUL, 9 Ogos — Lebih 20,000 penduduk diarahkan berpindah berhampiran Tasik Okanagan di British Columbia, Kanada pada malam Sabtu susulan kebakaran hutan Bald Range yang merebak pantas, memusnahkan kediaman dan menghampiri Summerland serta Peachland.

Arahan pemindahan melibatkan seluruh Summerland yang mempunyai kira-kira 12,000 penduduk, manakala 8,000 lagi penduduk di Peachland dan kawasan sekitarnya turut diarahkan meninggalkan kediaman masing-masing, lapor Anadolu Ajansi memetik CTV News tempatan pada Sabtu.

Kebakaran yang pertama kali dilaporkan pada petang Jumaat itu merebak sehingga meliputi kawasan seluas 50 kilometer persegi dalam tempoh beberapa jam dan menjejaskan komuniti kecil Faulder.

Rakaman video di media sosial menunjukkan beberapa kediaman terbakar ketika penduduk melarikan diri, manakala jalan raya ke arah selatan menuju Penticton sesak dengan kenderaan penduduk yang berpindah.

Pegawai penerangan kecemasan Erick Thompson menyifatkan kebakaran itu sebagai antara yang “paling pantas merebak” pernah berlaku di rantau berkenaan. 

Beliau turut menggesa penduduk supaya segera berpindah dan membantu jiran yang memerlukan bantuan.