Li Qiang Bertemu PM Kyrgyzstan di Hangzhou

Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kyrgyzstan, Adylbek Kasymaliev, yang datang ke China bagi menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Edisi Ke-5 di Hangzhou pada Rabu.

Dalam pertemuan itu Li berkata China bersedia untuk memperkukuh strategi pembangunan dengan Kyrgyzstan, bersama-sama melakukan pembinaan yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) , menggalakkan perkembangan stabil perdagangan dan pelaburan dua hala, memajukan pembinaan projek seperti Kereta Api China-Kyrgyzstan-Uzbekistan dan pemodenan pintu sempadan, serta terus meningkatkan tahap kesalinghubungan.

Katanya, China juga bersedia mengimport lebih banyak barangan berkualiti tinggi dari Kyrgyzstan, mendorong perusahaan China yang berdaya saing untuk melabur di Kyrgyzstan, dan memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, ekonomi digital, tenaga hijau, kewangan dan lain-lain.

Pada masa yang sama, China juga bersedia memperkukuh kerjasama kemanusiaan dengan Kyrgyzstan dalam bidang budaya, pelancongan, pendidikan, perubatan dan lain-lain, bagi menjana impak sosial demi kemaslahatan rakyat China dan Kyrgyzstan.

Sementara itu Kasymaliev memuji pencapaian pembangunan besar yang dicapai rakyat China di bawah kepimpinan Parti Komunis China (PKC). 

Beliau berkata, Kyrgyzstan menyokong teguh empat inisiatif global yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, menyokong China untuk mengetuai penubuhan Organisasi Kerjasama Kecerdasan Buatan Sedunia dan Institut Pengantaraan Antarabangsa, dan bersedia bekerjasama rapat dengan China dalam platform multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), mekanisme China-Asia Tengah dan lain-lain supaya bersama-sama mendorong kestabilan dan kemakmuran dunia.