Malaysia Kutuk Sekeras-kerasnya Serangan Israel Terhadap Orang Awam, Kakitangan UNRWA Di Gaza

KUALA LUMPUR, 25 Nov — Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza pada 23 Nov lepas yang mengorbankan seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) serta mencederakan tiga yang lain.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa serangan sembarangan yang berterusan oleh Israel terhadap orang awam dan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenakan akauntabiliti terhadap Israel dan memastikan orang awam, petugas bantuan kemanusiaan dan anggota PBB dilindungi,” menurut kenyataan itu.

Anadolu Ajansi pada 24 Nov melaporkan bahawa seorang kakitangan UNRWA terkorban manakala tiga yang lain cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan, seramai 397 kakitangan UNRWA dan individu lain yang menyokong usaha agensi itu terkorban sejak perang genosid Israel di Semenanjung Gaza bermula pada Oktober 2023.