Malaysia, Laos Teroka Bidang Pertumbuhan Baharu Sempena 60 Tahun Hubungan Dua Hala

PHNOM PENH, 6 Okt — Selepas enam dekad menjalin hubungan diplomatik, Malaysia dan Laos kini melihat melangkaui perdagangan tradisional dengan memberi tumpuan kepada pelancongan mesra Muslim, hospitaliti dan ekonomi digital sebagai bidang kerjasama seterusnya.

Duta Besar Malaysia ke Laos Norli Muadza Noor berkata Malaysia merupakan pelabur keempat terbesar di Laos dengan pelaburan berjumlah US$946 juta (RM3.9 bilion) sejak 1966 merangkumi sektor perbankan, tenaga, hospitaliti, perkhidmatan dan infrastruktur.

Perdagangan dua hala turut mencatat pertumbuhan ketara, meningkat kepada lebih US$65 juta (RM266 juta) pada 2025 berbanding US$43 juta (RM176 juta) pada 2024.

“Kehadiran Malaysia yang kukuh dalam ekonomi Laos menyediakan asas kukuh bagi kedua-dua negara untuk meneroka bidang baharu kerjasama komersial dan menggalakkan penyertaan lebih besar sektor swasta,” kata Norli pada Forum Diplomasi Ekonomi Malaysia-Republik Demokratik Rakyat (PDR) Laos: Meraikan 60 Tahun Bersama, anjuran Kedutaan Malaysia di Vientiane pada Isnin.

Malaysia dan Laos menjalin hubungan diplomatik pada 1 Julai 1966.

Pembuat dasar, pemimpin industri, pemain sektor pelancongan dan hospitaliti, diplomat serta usahawan dari kedua-dua negara menyertai forum berkenaan.

Ahli panel berpandangan bahawa dengan meningkatkan akses kepada makanan halal, kemudahan solat dan penginapan mesra Muslim, Laos berada pada kedudukan baik untuk menarik pelancong dari negara Islam.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Laos Inthy Deuansavanh berkata penambahbaikan kesalinghubungan serantau dapat membantu menjadikan Laos sebagai destinasi pelancongan antarabangsa utama di Asia Tenggara.

“Republik Demokratik Rakyat Laos berpotensi mempelbagaikan pasaran sumber dan tawaran pelancongannya, termasuk dengan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menerima pelancong Muslim,” katanya.

Negara yang tidak mempunyai akses ke laut itu menerima hampir tiga juta pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026.

Dalam sesi “AI dan Masa Depan Keusahawanan Wanita”, ahli panel mengetengahkan satu lagi dimensi baharu dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Laos.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas MADCash Dr Nuraizah Shamsul Baharin berkata kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan Laos.

MKS) dengan memperkukuh operasi perniagaan, meningkatkan kehadiran digital, mencapai pasaran lebih luas dan membolehkan penyertaan lebih besar dalam ekonomi digital,” kata Nuraizah yang juga fokal bagi Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN.

Perbincangan itu turut mengetengahkan peluang kerjasama yang lebih luas dengan menggabungkan rakyat, budaya, pelancongan dan teknologi bagi mewujudkan hala tuju baharu ke arah pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.