Mohamad, Ditoka Bincang Perkukuh Kerjasama Malaysia-Fiji

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar dan Perdagangan Luar Fiji Sakiasi Raisevu Ditoka mengadakan perbincangan mengenai usaha untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Fiji, pada Selasa.

Mohamad berkata kerjasama itu meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan, perhutanan, tenaga boleh baharu serta kebudayaan.

“Sebentar tadi menghoskan makan tengah hari bagi meraikan lawatan kerja TYT Sakiasi Raisevu Ditoka.

“Juga bertukar-tukar pandangan dalam isu-isu serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara Pasifik,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ditoka berada di Malaysia untuk lawatan kerja dari 9 hingga 12 Ogos. Pada Isnin, beliau merasmikan pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, jumlah dagangan dua hala Malaysia-Fiji berjumlah RM880.01 juta (US$206.2 juta) pada 2025, dengan eksport Malaysia bernilai RM867.92 juta (US$203.41 juta) dan import bernilai RM12.09 juta (US$2.80 juta).