Negara Amerika Latin Kecam Serangan Israel Ke Atas Iran

BOGOTA/ISTANBUL, 15 Jun — Ketegangan antara Israel dan Iran yang semakin memuncak berikutan siri serangan udara oleh Israel mendorong ramai pemimpin Amerika Latin mengeluarkan kenyataan keras mengecam tindakan itu atau menyeru agar semua pihak bertindak dengan berhemah dan mengutamakan diplomasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sejak awal pagi Jumaat, Israel melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah Iran, menyasarkan kemudahan nuklear dan peluru berpandu serta mengorbankan pegawai tentera kanan dan saintisnya. 

Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa kawasan yang diduduki Israel.

Presiden Venezuela Nicolas Maduro mengecam serangan udara terbaharu Israel ke atas kemudahan nuklear dan tapak ketenteraan Iran, sambil menyatakan solidariti penuh dengan Tehran.

Bercakap kepada saluran televisyen kerajaan VTV, beliau turut menzahirkan sokongan negaranya kepada Palestin, Syria, Lubnan, Yaman serta seluruh umat Islam dan bangsa Arab.

Maduro turut mengkritik sikap membisu masyarakat antarabangsa terhadap serangan yang disifatkannya sebagai genosid oleh Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, di samping menggesa tindakan kekejaman Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dihentikan. 

Beliau berkata Israel dibekalkan senjata, pesawat dan peluru berpandu dengan dana besar “untuk membunuh ribuan kanak-kanak, wanita, lelaki dan warga emas”.

Sementara itu, Colombia dan Mexico turut menggesa semua pihak bertindak dengan berhemah dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Menurut akhbar El Espectador, Kementerian Luar Colombia mengecam serangan Israel dan menekankan keperluan semua pihak mematuhi norma kemanusiaan.

“Kami menyatakan kebimbangan terhadap kesan ketenteraan terkini antara Israel dan Iran terhadap kestabilan serantau dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan kementerian itu.

Mexico juga menyuarakan kebimbangan yang sama, dengan Presiden Claudia Sheinbaum menegaskan komitmen negaranya terhadap keamanan.

“Mexico akan sentiasa menyokong keamanan dalam erti kata yang paling luas,” katanya.

Kementerian Luar Mexico turut menggesa kedua-dua negara mengekalkan saluran diplomatik terbuka dan memilih pendekatan diplomasi berbanding konfrontasi ketenteraan.

“Memilih dialog dan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan adalah aspirasi aman Mexico,” menurut kenyataan itu, sambil memberi amaran agar mengelak sebarang tindakan yang mengancam nyawa orang awam.

Presiden Bolivia, Luis Arce dalam satu kenyataan di platform X, mengecam serangan Israel pada 13 Jun sebagai “satu provokasi” dan menyatakan solidariti dengan rakyat Iran.

“Kami mengutuk serangan udara Israel ke atas Iran. 

“Laporan menunjukkan serangan itu telah mengorbankan beberapa orang awam di Tehran, termasuk dua saintis nuklear dan pegawai tentera kanan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa serangan itu mengancam kestabilan rantau berkenaan.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel mengecam tindakan Israel, dengan menyatakan: “Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran kerana dengan cuai meningkatkan ketegangan di Timur Tengah dan mengancam keamanan serantau serta antarabangsa.”

“Kami menyeru agar kekejaman ini dihentikan dan menuntut penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa,” tulisnya di platform X.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda