Operasi SAR Dijalankan di Pintu Sempadan Jilong Susulan Berlakunya Tanah Runtuh

Pihak berkuasa China telah mengambil tindak balas kecemasan peringkat dua di sekitar pintu sempadan Jilong yang bersebelahan dengan Nepal yang baru dilanda tanah runtuh pada Rabu. Pasukan tentera, Pasukan Pergerakan Am (PGA), jabatan pemeriksaan sempadan dan pasukan bomba telah mengerahkan kakitangan masing-masing ke tapak kejadian berkenaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara teratur. 

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China (MFA) Lin Jian dalam sidang media pada Khamis. 

Dimaklumkan, tanah runtuh yang berlaku di sebelah Nepal pada Rabu juga mengakibatkan korban jiwa, kecederaan dan kehilangan ramai di pintu sempadan Jilong di andar Shigatse wilayah Xizang, China. 

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, terdapat 260 warga asing yang dilaporkan hilang di kawasan bencana. 

Baik penduduk tempatan mahupun warga asing diberi layanan sama rata dalam operasi SAR yang dikendalikan China, yang konsisten dalam melakukan penghubungan dengan kedutaan negara berkaitan serta berkongsi perkembangan situasi terkini. 

Sementara itu, China juga mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak Nepal, menyelaraskan kerjasama untuk memastikan operasi SAR berjalan dengan lancar, serta bersedia memberi bantuan kecemasan mengikut keperluan pihak Nepal.