Persiapan Nagoya Sambut Pengunjung Menjelang Sukan Asia Rancak

NAGOYA, 23 Ogos — Berbaki kurang sebulan lagi Sukan Asia, perniagaan dan pihak berkuasa tempatan di Nagoya meningkatkan persiapan untuk mengalu-alukan penonton dari Jepun dan luar negara.

Ini termasuk acara istimewa seperti perarakan watak berkostum (cosplay) di arked beli-belah dan latihan untuk kakitangan hotel melayani tetamu lebih baik, lapor Kyodo News.

Terletak di tengah-tengah ibu kota Wilayah Aichi, daerah beli-belah Osu sibuk dengan rancangan untuk memberikan sambutan hangat kepada pengunjung menjelang temasya itu dari 19 Sept hingga 4 Okt.

Menawarkan orang ramai pengalaman menumbuk kek beras mochi Jepun dan perarakan cosplay sedang dalam usaha, kata penganjur.

Daerah yang terkenal dengan restoran menyajikan masakan antarabangsa, kafe pembantu rumah atau maid cafe dan kedai pakaian vintaj itu, menempatkan lebih 1,000 perniagaan dan menarik kira-kira 70,000 hingga 80,000 pengunjung setiap hari pada hujung minggu dan musim cuti.

“Kami mahu meningkatkan lagi usaha kami untuk mengalu-alukan pengunjung dari luar negara,” kata Shoji Hotta, 67, ketua persatuan beli-belah daerah itu.

Persatuan itu merancang untuk menghiasi arked berbumbungnya dengan bendera negara dan wilayah yang mengambil bahagian dan menyediakan tempat bergambar yang direka seperti podium pingat.

Ia menjangkakan bilangan pelawat harian meningkat kepada antara 120,000 dan 140,000 semasa temasya.

Nagoya juga sedang berusaha untuk menambah baik alam sekitar melalui projek yang dilancarkan pada Julai bagi meningkatkan kualiti air di Sungai Horikawa di pusat bandar.

Bandar tengah Jepun itu juga telah merekrut kira-kira 1,200 pembantu untuk memberikan maklumat pelancongan dan bantuan lain semasa acara sukan global itu.

Sejak September lepas, Hotel Nagoya Marriott Associa, yang bersambung terus ke Stesen JR Nagoya, telah mengadakan sesi latihan dua kali sebulan untuk melatih pekerja membantu pelawat asing dan orang kurang upaya.

“Latihan itu membuatkan saya lebih yakin untuk membantu tetamu,” kata Ryo Tanaka, 26, yang mengendalikan kaunter penerimaan tetamu dan perkhidmatan tetamu lain. “Saya mahu memastikan setiap tetamu dibantu dengan baik.”

Untuk menggalakkan pembabitan penonton yang lebih luas, kerajaan wilayah Aichi akan membenarkan sebilangan pelajar menghadiri bukan sahaja Sukan Asia tetapi juga Sukan Para Asia, yang akan diadakan dari 18 hingga 24 Okt.