PM Kemboja Hun Manet Gesa ASEAN Bina Perkhidmatan Awam Berteraskan Rakyat, Bersedia Era AI

PHNOM PENH, 5 Ogos — Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menggesa ASEAN supaya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital bagi menyampaikan perkhidmatan awam yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup rakyat serta merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau ini.

Bercakap mengenai keperluan pendekatan inovasi yang inklusif, Hun Manet berkata transformasi digital ASEAN mesti melangkaui sekadar mengguna pakai teknologi baharu dan sebaliknya menumpukan kepada usaha menangani keperluan sebenar rakyat.

“Inovasi mesti berasaskan landasan keupayaan institusi dan sumber manusia.

Menyedari tahap pembangunan ASEAN yang pelbagai, matlamat kita adalah untuk merapatkan jurang dan memastikan setiap negara mengguna pakai teknologi baharu, terutamanya AI pada kadar yang mampan,” kata Hun Manet, mengikut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook jurucakap perdana menteri pada Rabu.

Hun Manet berkata demikian pada Kerjasama ASEAN mengenai Perkara Perkhidmatan Awam (ACCSM) Ke-23 dan Kerjasama ASEAN Campur Tiga mengenai Perkara Perkhidmatan Awam (ACCSM+3) Ke-8 yang berlangsung di Siem Reap dari 3 hingga 5 Ogos di bawah tema “Inovasi untuk Penyampaian Perkhidmatan yang Lebih Baik”.

Kenyataan beliau menyusul ketika kerajaan negara-negara ASEAN mempercepat penggunaan AI dan teknologi digital bagi memodenkan pentadbiran awam, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta membolehkan jentera kerajaan beroperasi dengan lebih cekap.

Perdana Menteri Kemboja itu turut menyeru agar inovasi digunakan bagi mengukuhkan daya tahan kolektif ASEAN, ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran – termasuk bencana berkaitan iklim, pembangunan ekonomi tidak seimbang dan isu kemiskinan – yang tidak mampu ditangani oleh sesebuah negara secara bersendirian.

“Inovasi wajar melangkaui kecekapan dalaman untuk merangkumi perkongsian pengetahuan, sokongan bersama serta penyesuaian kolaboratif.

Dalam usaha ini, ACCSM mesti kekal sebagai platform penting untuk pembelajaran bersama, membolehkan negara anggota bekerjasama, menyelaraskan dasar dan membina keupayaan bersama bagi menghadapi cabaran serupa,” kata Hun Manet.