Presiden Xi Berucap pada Sidang Kemuncak BRICS Ke-18

Presiden China Xi Jinping menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, India pada Sabtu petang. 

Ketika berucap pada sidang itu, Xi menyatakan bahawa tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 kerjasama negara-negara BRICS. 

“Dalam tempoh dua dekad lalu, mekanisme kerjasama BRICS telah berkembang menjadi platform kerjasama yang paling berpengaruh di kalangan pasaran-pasaran baru muncul dan negara-negara membangun di dunia.

“Negara-negara BRICS secara proaktif meneroka jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara masing-masing, dan menjadi teladan bagi kesatuan pasaran-pasaran baru muncul dan negara-negara membangun,” kata Xi.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, menurut Xi, negara-negara BRICS berganding bahu untuk menghadapi cabaran bersama termasuk krisis kewangan antarabangsa, pandemik COVID-19, dan perubahan iklim, memelihara kepentingan bersama Selatan Global dan menyumbangkan faktor kestabilan dan tenaga positif untuk dunia.

Beliau berkata, kerjasama BRICS membuahkan hasil memberangsangkan dalam tempoh 20 tahun lalu, dengan anggota pertubuhan ini kian banyak dan rangka kerja kerjasama pelbagai peringkat berjaya dibentuk. Kerjasama BRICS kian ditingkatkan dan mencapai tahap baharu pembangunan bermutu tinggi “BRICS raya”.

Xi menegaskan bahawa negara-negara BRICS harus berdiri teguh di pihak betul dalam sejarah, dan menjadi pelopor dalam mempromosikan pembangunan inovatif, memelihara keamanan dan kestabilan, menggalakkan saling belajar antara tamadun, serta menambah baik tadbir urus global.

Xi menyatakan bahawa negara-negara BRICS harus membimbing susunan antarabangsa ke arah lebih adil dan munasabah, dan berganding tangan mempromosikan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“China akan mengambil alih jawatan negara pengerusi BRICS pada tahun depan, dan menganjurkan Sidang Kemuncak BRICS ke-19.

“China bersedia bersinergi dengan pelbagai pihak untuk membuka ‘dekad keemasan’ ketiga kerjasama BRICS, dan bersama-sama membina masa depan yang lebih makmur,” ujar Xi.