Wakil APEC Tekan Perdagangan Serantau Pacuan AI dan Bantuan kepada PMKS

Wakil-wakil dari 21 entiti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) melibatkan jabatan kastam, agensi kerajaan, pertubuhan antarabangsa, perniagaan dan komuniti akademia menekankan keperluan bekerjasama dengan lebih rapat bagi merancakkan perdagangan dan mengukuhkan hubungan serantau di tengah-tengah meningkatnya amalan unilateralisme dan proteksionisme.

Dilaporkan, lebih daripada 260 wakil menghadiri Dialog Perniagaan Kastam APEC 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis di Dalian, provinsi Liaoning di timur laut China.

Isu-isu seperti bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), keselamatan rantaian bekalan, pengaplikasian kecerdasan buatan (AI) dan pengawasan kastam terhadap e-dagang rentas sempadan antara topik utama yang dibincangkan para peserta.

Ketua Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Sun Meijun menyatakan bahawa dialog berkenaan berfungsi sebagai platform penting yang menyatukan jabatan kastam dan sektor perniagaan serta memudahkan komunikasi antara kerajaan dengan pasaran.

GACC akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan perdagangan rentas sempadan, mempermudah prosedur kastam dan membolehkan lebih banyak produk global yang berkualiti masuk ke pasaran China, ujar beliau.

Difahamkan, draf hasil perbincangan dijangka siap sempena dialog berkenaan, dilihat sebagai persiapan kepada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-33 yang dijadual berlangsung di Shenzhen pada November depan.