Kedua-dua pihak China dan Jordan perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembangunan negara masing-masing berdasarkan kerjasama yang saling menguntungkan.
Demikian dinyatakan Presiden China, Xi Jinping setelah menerima kunjungan Raja Abdullah II dari Jordan di Beijing pada petang semalam.
Xi menekankan dalam sesi perbincangan dengan baginda bahawa kedua-dua pihak perlu mengukuhkan kerjasama dalam bidang tradisional seperti ekonomi dan perdagangan, pembinaan infrastruktur, pengangkutan dan mineral, serta meneroka bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau.
“Di samping itu, usaha juga perlu dilakukan untuk merancakkan pertukaran dalam bidang pendidikan, kebudayaan, sains dan teknologi serta pelancongan, dan meningkatkan mobiliti sesama rakyat demi pengukuhan persahabatan,” kata Xi.
Sementara itu, Raja Abdullah II pula menyatakan bahawa pihak Jordan teguh memegang Dasar Satu China dan menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah China. Baginda menyanjung tinggi terhadap empat inisiatif global yang dikemukakan Xi dan berharap China terus memainkan peranan kepimpinan yang lebih penting di pentas dunia.
Selain itu, pemimpin tertinggi kedua-dua negara juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di rantau Asia Barat. Xi menegaskan bahawa pihak China sentiasa menyokong gencatan senjata sepenuhnya dan penyelesaian konflik melalui saluran politik dan diplomatik, serta berpendapat bahawa kedaulatan dan keselamatan negara-negara di rantau itu termasuk Jordan harus dihormati.
Menurut Xi, isu Palestin merupakan inti kepada masalah Asia Barat. Dalam mendorong penyelesaian isu itu, empat prinsip perlu dipegang teguh. Pertama, penyelesaian politik mesti diutamakan; kedua, “kemandirian dalam pemerintahan Palestin” mesti dipertahankan; ketiga, prinsip kemanusiaan mesti dipatuhi; dan keempat, keadilan dan kesaksamaan mesti ditegakkan.
Raja Abdullah II mengeluarkan penghargaan tinggi terhadap pendirian adil yang sentiasa dipegang oleh China dalam hal ehwal Asia Barat serta sokongan China terhadap perjuangan adil negara-negara Arab. Pendirian China amat penting bagi negara-negara di rantau itu. Pihak Jordan bersedia untuk terus mengekalkan komunikasi erat dengan China dan terus berusaha secara aktif untuk meredakan ketegangan dalam situasi semasa, agar rakyat di pelbagai negara rantau Asia Barat dapat mengecapi keamanan dan kemakmuran.













Tinggalkan Balasan