KUALA LUMPUR, 19 Mei — Barisan Nasional (BN) akan terus mempertahankan persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat mandat pentadbiran bagi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata BN berpendirian bahawa persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia daripada terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan.
“Persefahaman itu disepakati hingga mandat berakhir. Justeru, tidak timbul persoalan Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menyentuh mengenai perkembangan di Johor, Zambry berkata BN menghormati pendirian yang disuarakan oleh BN negeri itu berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata pendirian tersebut adalah selaras dengan pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor.
Sabtu lepas, Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.
















Tinggalkan Balasan