Pemimpin PKR Perlu Setia, Tanggung Sendiri Akibat Jika Khianat – Amirudin

SHAH ALAM, 19 Mei — Mana-mana pimpinan atau ahli yang memilih untuk tidak lagi setia kepada PKR serta bertindak merosakkan kekuatan parti, perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan yang diambil.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata PKR merupakan wadah yang telah memberi ruang dan peluang kepada individu terbabit, untuk membina nama serta memegang kedudukan bermaruah dalam kepimpinan.

“Parti sangat jelas, kalau mereka yang mengambil langkah tidak lagi setia dengan parti ataupun mengambil tindakan yang merosakkan dan mengurangkan kekuatan parti, orang itu kena bertanggungjawab sebab parti ini yang menaikkan anda.

“Saya antara suspek ketika Sheraton Move, tetapi saya membuat keputusan berani dan tegas untuk kekal dengan parti bersama-sama dengan pimpinan lain,” katanya pada sidang media Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Selangor 2026, di Kelab Shah Alam Selangor, di sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian bagi mengulas desakan terhadap Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, agar mengosongkan kerusi masing-masing selepas hadir ke program kempen bekas Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli serta bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas kedudukan Selangor sebagai kubu kuat PKR, Amirudin berkata pihaknya tidak mengambil mudah sebarang perubahan landskap politik semasa yang berlaku di negeri itu.

“Ketika ini kita kena buat keputusan dengan tepat dan bukan bermain-main, sebab isunya parti ini ditubuhkan dengan semangat rakyat yang membara dan mempunyai pengalaman panjang termasuk berdepan pelbagai cabaran. 

“Dinamika politik harus diteliti oleh semua pimpinan, dengan mengambil kira semua aspek dan tidak memandang mudah baik lawan, kawan ataupun elemen baharu seperti parti yang disertai oleh saudara Rafizi dan Nik. Kita akan lihat kesannya,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kematangan mengemudi platform perjuangan bersama Pakatan Harapan (PH) selama puluhan tahun telah membentuk sebuah persefahaman politik yang utuh.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan seluruh saf kepimpinan agar bersiap sedia mengatur pendekatan strategi yang tepat bagi mendepani pilihan rakyat yang akan datang.