DAP Kekal Parti Berbilang Kaum Untuk Rakyat Malaysia – Loke

PUTRAJAYA, 16 Ogos — DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia, dengan prinsip itu terus menjadi asas perjuangannya ketika parti berkenaan menentukan hala tuju dan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pendirian itu tidak akan berubah, meskipun parti berkenaan masih berdepan cabaran untuk memperluas sokongan merentasi kaum selepas 60 tahun penubuhannya.

“Dasar parti yang paling utama yang perlu kita kekalkan ialah DAP selama-lamanya parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia.

“DAP ditubuhkan kerana ada objektif yang unik untuk negara, memperjuangkan keadilan, memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk rakyat Malaysia, supaya mempunyai satu kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan Tan Kok Wai, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming serta seluruh pimpinan DAP.

Loke berkata prinsip berbilang kaum itu, membawa makna perjuangan parti tidak boleh terbatas kepada kepentingan satu-satu kaum sahaja, sebaliknya harus memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang saksama untuk berjaya.

Beliau berkata perjalanan enam dekad DAP daripada sebuah parti yang diasaskan sekumpulan kecil aktivis kepada antara parti politik utama negara, tidak mengubah asas perjuangan itu.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang julung kali diadakan di Putrajaya itu, turut berlangsung bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan parti berkenaan.

Kemuncak persidangan hari ini bakal menyaksikan 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak, akan mengundi bagi menentukan kedudukan DAP dalam pentadbiran kerajaan menerusi proses pengundian selepas tamat sesi perbahasan.