DAP Pulau Pinang Serah Mandat Kepada Perwakilan Tetap Pendirian Usul Konvensyen

GEORGE TOWN, 14 Ogos — DAP Pulau Pinang menyerahkan mandat sepenuhnya kepada perwakilan pada Persidangan Kebangsaan parti itu Ahad ini, bagi menentukan pendirian berhubung usul sama ada parti itu perlu keluar daripada barisan Kabinet atau sebaliknya.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti Chow Kon Yeow berkata Jawatankuasa DAP negeri telah bermesyuarat Rabu lepas dan mengambil pendekatan terbuka dalam menghadapi konvensyen berkenaan.

“Bagi Pulau Pinang, jawatankuasa negeri dalam perjumpaan pada hari Rabu mengambil sikap terbuka. Kita tidak membuat satu pendirian rasmi negeri.

“Para perwakilan dari Pulau Pinang juga telah diberikan taklimat mengenai usul-usul yang akan dibahaskan dan kita membiarkan mereka membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Komtar di sini hari ini.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata setiap kepimpinan negeri mempunyai pendekatan masing-masing dalam menghadapi konvensyen parti itu.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 pada Ahad ini bakal menentukan hala tuju parti sama ada kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa dan usul mengenainya akan dibentangkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Keputusan mengenai usul berkenaan akan ditentukan menerusi undian 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu.