PUTRAJAYA, 31 Ogos — Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini disifatkan luar biasa dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kemeriahan sambutan itu memperlihatkan semangat patriotik rakyat Malaysia yang semakin meningkat.
“Tahun ini sangat luar biasa, sambutannya lebih baik daripada tahun-tahun yang lepas. Ini memperlihatkan patriotisme rakyat Malaysia semakin bertambah, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui media selepas sambutan itu.
Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai yang membanjiri Dataran Putrajaya sejak awal pagi untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan bersempena dengan Hari Kebangsaan 2026.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat menyaksikan sambutan itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, acara berkenaan dihadiri lebih 100,000 pengunjung dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.
















Tinggalkan Balasan