KKDW Tidak Belanja Melebihi Peruntukan Diluluskan – Ahmad Zahid

CYBERJAYA, 7 Sept — Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbelanjaan kementerian adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan atau jumlah yang telah diluluskan kerajaan.

“Perkara yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab persoalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican).

“Tiada sebuah kementerian belanja melebihi yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau yang telah diperuntukkan,” katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.

Isu mengenai peruntukan KKDW itu timbul susulan kenyataan Ahmad Zahid mengenai masalah  kelewatan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kementeriannya.

Beliau berkata masalah tersebut memberikan kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan, justeru menegaskan isu itu perlu diselesaikan supaya kelewatan bayaran tidak berlarutan.

Pada 2 Sept, Johan memaklumkan tidak ada sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar manakala keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan telah disalurkan.