LIPIS, 26 Julai — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membangunkan Kolej Komuniti Jelai bagi memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi masyarakat luar bandar di Mukim Batu Yon, dekat sini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk memulakan perancangan pembinaan kolej komuniti itu yang bakal menjadi kolej komuniti ke-11 di Pahang.
“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan dalam tempoh kira-kira setahun hingga satu tahun setengah dari sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kolej Komuniti Jelai di Dataran Santuari Eco Gahai, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan secara bersama oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Zambry.
Sementara itu, Zambry berkata kolej komuniti itu akan menawarkan program berteraskan agroteknologi dan teknologi pertanian lestari, sejajar dengan potensi ekonomi daerah Jelai yang berasaskan sektor pertanian dan agromakanan.
KPT dalam kenyataan memaklumkan kolej komuniti yang bernilai RM55 juta berkenaan dijangka mampu menampung sekurang-kurangnya 240 pelajar dalam bidang pertanian moden dan teknologi berkaitan.
“Penubuhan institusi ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam memperkukuh ekosistem TVET negara, selain memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati masyarakat tanpa mengira lokasi geografi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada KPT atas kelulusan pembinaan kolej komuniti berkenaan yang telah lama diusahakan oleh kerajaan negeri.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
















Tinggalkan Balasan