Krisis Tenaga Global: Inisiatif Peralihan Tenaga Bantu Sabah Tangani Impak – Hajiji

KOTA KINABALU, 17 April — Inisiatif peralihan tenaga yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah dilihat mampu memperkukuh keselamatan bekalan tenaga di negeri ini selain mengurangkan impak kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata inisiatif peralihan tenaga diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) itu dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas dan amat bersesuaian serta tepat pada masanya dalam membantu negeri ini berdepan cabaran susulan konflik berkenaan.

Hajiji yang juga Pengerusi Majlis Tenaga Sabah (MTS) berkata kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh keselamatan tenaga Sabah melalui strategi pembangunan tenaga seimbang dan berdaya tahan.

“Ini termasuk memanfaatkan sumber gas asli negeri, pembangunan tenaga hidro, penggunaan teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) serta penerokaan projek Pumped Storage Hydro sebagai penyimpanan tenaga berskala besar bagi meningkatkan fleksibiliti dan kestabilan sistem grid Sabah.

“Di bawah inisiatif peralihan tenaga, Sabah kini sedang beralih ke arah peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel dan marine fuel oil,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTS tahun ini di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata pembangunan sektor tenaga menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan serta memacu pertumbuhan perindustrian Sabah, selain bekalan tenaga stabil dan mampan juga mampu memperkukuh kawasan strategik sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Hajiji berkata sepanjang 2025, Sabah mencatat beberapa pencapaian penting dalam memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri termasuk penyiapan projek BESS berkapasiti 100 megawatt (MW) / 400 megawatt jam (MWj) pada Ogos tahun lepas.

“Ini merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara dan pengoperasian sambungan grid Sabah-Sarawak pada Dis 2025 yang membolehkan import tenaga sebanyak 50MW,” katanya.

Beliau berkata prestasi kebolehpercayaan bekalan elektrik turut menunjukkan peningkatan dengan penambahbaikan prestasi Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) daripada 416 minit pada 2024 kepada 338 minit tahun lepas.

Katanya pencapaian SAIDI yang memberangsangkan itu adalah hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pengawal selia, utiliti, pengendali sistem serta pihak berkepentingan lain dalam menambahbaik operasi dan perancangan sistem bekalan elektrik di Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kejadian menara talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud yang tumbang akibat bencana alam pada September 2025 memperlihatkan kepentingan memperkukuh daya tahan grid elektrik negeri.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan melalui pembangunan penjanaan tenaga yang mampan di pantai timur Sabah serta pelaksanaan pautan grid bahagian selatan (Southern Link) bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan sistem grid di negeri ini.

Sementara itu, ketua menteri turut memaklumkan mesyuarat MTS hari ini antara lain meluluskan langkah-langkah intervensi di bawah inisiatif Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah bagi mempercepat pencapaian sasaran 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

“Keputusan-keputusan ini selaras dengan strategi Kerajaan Negeri Sabah untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga melalui campuran tenaga yang seimbang merangkumi tenaga boleh baharu, gas asli dan teknologi penyimpanan tenaga.

“Di samping itu, ia turut memperkukuh infrastruktur grid termasuk pembangunan Southern Link bagi meningkatkan tahap keboleharapan sistem khususnya di pantai timur Sabah,” katanya.