Satu Kapal Minyak Malaysia Rosak, Tidak Dapat Berlepas Dari Selat Hormuz – PM Anwar

CYBERJAYA, 17 April — Satu daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa bahan api mengalami kerosakan dan tidak dapat berlepas dari pelabuhan di Selat Hormuz, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebuah daripada dua kapal yang melepasi selat berkenaan pula sudah tiba di Malaysia manakala satu lagi sedang menghampiri perairan negara.   

Beliau berkata kerajaan ketika ini sedang giat memantau keadaan kapal-kapal lain yang belum melepasi Selat Hormuz.

“Satu (kapal) dah sampai (Malaysia), satu hampir sampai, dan masuk dalam perairan Malaysia, maknanya (ada) dua, yang lain itu kita masih pantau.

“Dari segi kelulusan, memang Iran telah beri kelulusan kepada tujuh (kapal), tapi satu (kapal) mempunyai masalah kerosakan, tak boleh berlepas dari pelabuhan. Tapi dengan keadaan terbaharu ini (kerosakan kapal), kita ada hadapi masalah sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Malaysia akan menyertai satu sidang khas antarabangsa mengenai situasi di Asia Barat termasuk Selat Hormuz yang dianjurkan Presiden Perancis Emmanuel Macron bersama Perdana Menteri Britain Keir Starmer, bagi membincangkan usaha memastikan keselamatan dan kebebasan laluan maritim di kawasan strategik tersebut.

“Saya akan wakilkan kepada Menteri Luar Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan). Pendirian kita ialah harus ada kebebasan laluan.

“Walau bagaimanapun kita tidak boleh menafikan hak Iran dan kegelisahan kita kerana tindakan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran dahulu. Jadi kita mengambil sikap yang lebih adil dan bebas,” katanya.