Lebih 5,000 Kes Buli Dilaporkan Di Sekolah Dalam Lapan Bulan Pertama Tahun Ini – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Sejumlah 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata statistik itu antara lain melibatkan kesalahan buli fizikal, buli lisan, buli bukan lisan serta buli siber.

Anwar berkata bagaimanapun, angka sebenar mungkin lebih besar, mengambil kira sekiranya terdapat kes buli dan salah laku disiplin di pusat pendidikan yang tidak dilaporkan berikutan ada pihak pentadbiran yang mahu menjaga imej sekolah masing-masing.

“Masalahnya kadang-kadang dilindungi (pelaku) kerana tak mahu imej sekolah itu buruk, mahu jaga reputasi sekolah, beri laporan yang baik-baik sahaja hakikatnya anak-anak di sekolah itu berasa terdera, tertekan (apabila) masuk ke sekolah.

“Jadi jangan sembunyikan, kerana yang rosak anak ini, pendekatan tak betul. Saya setuju dalam kes-kes seperti ini, apa-apa jua pun alasan, tindakan harus diambil secara cepat dan tegas,” katanya pada Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai faktor kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan.

Perdana Menteri menyeru supaya ibu bapa bersama-sama melaksanakan peranan dan memikul tanggungjawab dalam memantau aspek pendidikan serta keselamatan anak-anak dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada warga pendidik.

“Soal pemantauan, asrama, audit keselamatan, kapasiti penyeliaan murid, kaunseling, isu-isu mental, inisiatif kesejahteraan, itu semua telah dilakukan (Kementerian Pendidikan). Adakah mencukupi? Saya fikir belum, kerana hal ini begitu mencabar dan perlu melibatkan semua pihak.

“Mengapa harus ada ibu bapa yang hampir tidak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak mereka? Kalau di asrama ada kawalan yang lebih ketat, tetapi tanpa kesedaran ibu bapa, bagaimana boleh ibu bapa sampai tidak ambil tahu sama ada anak balik (rumah) atau tidak sampai  11, 12 malam?,” kata beliau.

Beliau berkata berdasarkan rekod beberapa kes buli yang dilaporkan, hampir semua pelajar yang terlibat meluahkan kekecewaan kerana tidak dilayan baik oleh ibu bapa.

“Saya tidak bermaksud mahu menyalahkan ibu bapa tapi maknanya tanggungjawab keluarga, unit keluarga itu mesti menjadi asas. Negara tertegak dengan unit keluarga yang kukuh. Jadi dalam kes ini, janganlah kita hanya merasa kesal setelah ada laporan, kita harus bersama-sama selesaikannya.

“Saya harap media juga dapat melakukan peranan dalam menggesa ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab. Banyak kajian menunjukkan ada ibu bapa di kawasan bandar yang sibuk atau mengalami tekanan hidup sehingga mengabaikan anak-anak mereka,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan isu buli tidak dibebankan sepenuhnya kepada warga pendidik, Anwar berkata pelbagai langkah telah diambil dalam mengekang masalah itu, termasuk menambah bilangan guru bimbingan dan kaunseling serta pembantu warden di asrama.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia juga dibenarkan masuk ke kawasan sekolah pada bila-bila masa secara rasmi dengan berpakaian seragam, selain melatih 400 warden mengenai kemahiran dan sokongan psikososial.

“Kuasa kepada pengetua, guru besar dan jawatankuasa disiplin juga diluaskan malah kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru.

“Kita juga menambah baik sistem disiplin murid, mendengar suara dan masalah murid, melakukan advokasi, menggariskan polisi perlindungan murid sekolah serta melaksanakan saringan minda sihat, ini susulan isu kesihatan mental yang dibangkitkan,” kata beliau.

Mengenai soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bersedia melaksanakan syariat Islam bagi mengenakan hukuman terhadap kes buli, Anwar berkata pelaksanaan undang-undang secara lebih bersepadu sememangnya perlu dilakukan dalam usaha menangani isu kes buli.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan secara prinsip telah meluluskan usul untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini.

“Perkara itu seterusnya akan dirujuk semula kepada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya.