Malaysia, Australia Teroka Kerjasama REE, Pembuatan Magnet Neodymium

PUTRAJAYA, 12 Ogos — Malaysia dan Australia meneroka kerjasama lebih erat dalam pembangunan industri Elemen Nadir Bumi (REE) dan mineral kritikal, termasuk usaha membangunkan keupayaan pembuatan magnet neodymium dalam negara.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan perkara itu antara fokus pertemuan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke di Bangunan Parlimen, semalam.

Menurut kenyataan NRES, Malaysia mengiktiraf kepakaran teknikal dan kepemimpinan Australia dalam sektor mineral kritikal, serta komited membangunkan rantaian nilai REE tempatan secara menyeluruh daripada peringkat pertengahan hingga hilir selaras dengan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3).

“Perbincangan turut memberi penekanan kepada pertukaran amalan terbaik dalam pengurusan sisa pemprosesan nadir bumi, khususnya Neutralisation Underflow Residue (NUF), serta pembangunan keupayaan pembuatan magnet neodymium di dalam negara,” menurut kenyataan itu.

Selain mineral kritikal, NRES memaklumkan kedua-dua pihak turut membincangkan pengurusan sisa berbahaya, pemuliharaan ekosistem marin, pembiayaan iklim serta komitmen Malaysia terhadap Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31).

NRES memaklumkan gabungan kepakaran teknikal Australia dan komitmen Malaysia terhadap pengurusan sumber mampan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang berdaya saing serta memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.

Pertemuan itu juga bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama baharu di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Australia yang dimeterai pada 2021.