KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Hubungan erat Malaysia dan Pakistan yang sedia terjalin terus diperkukuh menerusi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan lawatan rasminya selama dua hari ke Islamabad bermula semalam berkata kerjasama itu disentuh dalam perbincangan dua hala bersama-sama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan Syed Mohsin Raza Naqvi.
Beliau berkata antara perkara disentuh ialah kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim.
“Lawatan ini bukan sekadar mempererat hubungan sedia ada antara Malaysia dengan Pakistan, tetapi juga menjadi ruang untuk kita memperluas kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan, selaras dengan cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan memerlukan kerjasama lebih erat antara negara.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kedua-dua pihak turut bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan setiap bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, di samping berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja.
Terdahulu, pada hari pertama lawatan, Saifuddin Nasution menerima kawalan kehormatan oleh Federal Constabulary sebelum meletakkan kalungan bunga dan menghadiahkan al-Fatihah di Martyrs’ Memorial sebagai tanda penghormatan kepada wira yang berkorban demi negara.
Beliau kemudian ke Islamabad Police Lines untuk menyaksikan perbarisan khas serta bertemu dengan pegawai dan anggota polis Islamabad.
Dalam hantarannya itu, Saifuddin Nasution turut merakamkan penghargaan atas undangan, layanan mesra dan segala urusan yang diatur sepanjang lawatan itu, selain menyampaikan salam daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.















Tinggalkan Balasan