KUALA LUMPUR, 16 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengundang Presiden Min Aung Hlaing untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bagi meneruskan rundingan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar di negara ini.
Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jemaah Menteri dua minggu lepas, dengan matlamat mendapatkan persetujuan Myanmar menerima semula pelarian mereka di Malaysia secara berperingkat.
“Saya undang hendak beritahu kita (Malaysia) boleh bersahabat dan berdagang tetapi Myanmar mesti terima (pelarian Myanmar di Malaysia). Kalau tidak boleh 200,000 sekali gus, ambil berperingkat dan kita akan bantu selesaikan,” kata beliau menerusi audio siar “SembangOhhYeahh” bertajuk “Eps Khas: Siapa Sebenarnya Anwar Ibrahim, Di Sebalik Gelaran PMX?” yang disiarkan di YouTube hari ini.
Perdana Menteri berkata rundingan dengan kepimpinan Myanmar diperlukan kerana proses penghantaran pulang pelarian tidak boleh diselesaikan sekiranya negara berkenaan enggan menerima mereka.
Beliau berkata sebelum ini, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar telah diadakan di Bangkok, Thailand dan Beijing, China bagi membincangkan isu kemanusiaan, keselamatan serta keperluan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar di Malaysia.
Dalam pertemuan di Bangkok, Anwar berkata beliau menyampaikan pendirian Malaysia supaya keganasan terhadap pelarian itu dihentikan kerana keadaan berkenaan turut memberi kesan kepada negara ini.
Beliau berkata proses penghantaran pulang juga bukan sekadar membawa pelarian kembali ke Myanmar, sebaliknya perlu disertai jaminan bahawa keselamatan mereka terpelihara serta kemudahan seperti perubatan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Syaratnya, awak (kerajaan Myanmar) jangan bunuh (pelarian yang pulang) lagi, jangan bom lagi kawasan Rakhine, Myanmar. Keduanya, beri ruang mereka dapat kemudahan perubatan yang disediakan. Dua-dua syarat itu diterima (dalam rundingan itu),” kata beliau.
Anwar berkata isu penghantaran pulang pelarian itu kemudian dibangkitkan dalam pertemuan di Beijing apabila beliau menyatakan kesediaan Malaysia meneruskan hubungan baik dengan Myanmar, namun pada masa sama meminta negara itu mencari jalan menerima mereka semula.
“Saya kata, mesti cari jalan untuk ambil balik. Kalau tidak, nanti susah. Orang ini orang susah. Mereka pelarian, tiada kerja. Orang tempatan tidak suka sebab masalah mereka banyak. Jadi kita pun ada hadnya,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata hasil rundingan berkenaan menyaksikan Myanmar bersetuju menerima 5,000 pelarian, dengan kira-kira 1,500 lagi dijangka dihantar pulang dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Beliau berkata kerajaan juga bersedia menanggung kos tertentu termasuk perjalanan, pakaian dan makanan bagi memudahkan penghantaran pulang kerana langkah itu lebih praktikal berbanding menanggung mereka untuk tempoh panjang.
Pada masa sama, Anwar mengakui kehadiran pelarian Myanmar telah menimbulkan keresahan dalam kalangan sebahagian masyarakat tempatan terutama apabila berlaku tindakan yang melanggar undang-undang, termasuk perhimpunan tanpa kebenaran.
Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang dan tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa apabila berlaku kejadian sedemikian.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ketegasan penguatkuasaan perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dengan mengambil kira latar belakang mereka yang melalui kesukaran selepas meninggalkan negara asal.
“Rakyat kecam saya faham. Mereka susah, dapat kerja susah. Orang Rohingya (pelarian Myanmar) itu kadang-kadang kasar di luar tetapi Malaysia mesti menjaga imej negara kita sebagai negara yang ada kemanusiaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata matlamat kerajaan ialah memastikan pelarian Myanmar tidak kekal di Malaysia dan penyelesaian perlu dicapai melalui rundingan supaya penghantaran pulang dapat dilakukan secara teratur serta selamat.

















Tinggalkan Balasan