PM Anwar Berlepas Ke Keralam, Teruskan Lawatan Kerja Lima Hari Di India

NEW DELHI, 13 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini meneruskan lawatan ke Keralam, negeri di selatan India yang sebelum ini dikenali sebagai Kerala, bagi bahagian kedua dan terakhir rangka lawatan kerja lima hari beliau di India selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Air Force Station (AFS) Palam di sini pada 2.15 petang waktu tempatan (4.45 petang waktu Malaysia) menuju ke Kozhikode (Calicut), Keralam.

Di bandar persisiran itu, Anwar akan bertemu dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad, untuk saling bertukar perspektif mengenai pembangunan masyarakat, pemerkasaan pendidikan serta kesefahaman dan keharmonian antara agama.

Agenda lain lawatan itu menyaksikan Perdana Menteri dijadual bertemu Ketua Menteri Keralam Thiru V. D. Satheesan dan Gabenor Keralam Thiru Rajendra Vishwanath Arlekar.

Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan negeri berkenaan dalam sektor utama seperti perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual berlepas ke Maldives pada 14 Sept.