MELAKA, 15 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai agenda reformasi telah berjaya dilaksanakan di bawah kepimpinannya, manakala sebahagian lagi memerlukan masa dan pendekatan berperingkat untuk direalisasikan.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pencapaian reformasi tidak seharusnya dinafikan, hanya kerana masih terdapat tuntutan supaya lebih banyak perubahan dilakukan, sambil menggesa pihak yang mendesak reformasi supaya mengakui perubahan yang telah dilaksanakan kerajaan.
“Saya harap rakan-rakan yang menuntut perubahan, silakan…tetapi terima kenyataan bahawa perubahan sudah dilakukan. Kita boleh senaraikan berapa banyak.
“Keberanian reformasi MADANI apa dia? 60 tahun sebelumnya, hal-hal yang patut dilakukan, tidak dilakukan. Jadi kalau pun kita menegur, menggesa, mendesak, jangan memadamkan kenyataan yang sudah dilakukan,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama pimpinan PKR dan Kerajaan MADANI, antaranya Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara agenda reformasi yang telah dilaksanakan termasuklah pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) serta penggubalan Akta Kredit Pengguna dan perundangan berkaitan pekerja gig.
Beliau berkata pencapaian tersebut membuktikan perubahan yang selama puluhan tahun tidak dilaksanakan sebelum ini, kini mula direalisasikan dalam tempoh kira-kira tiga tahun pentadbiran beliau.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui pelaksanaan reformasi bukan sesuatu yang mudah dan semua langkah yang diambil kerajaan telah sempurna.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata beliau kekal konsisten dalam memperjuangkan agenda reformasi yang menjadi antara tuntutan utama PH, namun realiti pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, memerlukan rundingan dengan parti-parti gabungan lain.
Beliau berkata PH sebagai parti induk dalam kerajaan perlu mengambil kira pendirian dan kepentingan rakan-rakan gabungan bagi memastikan agenda perubahan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Anwar berkata pendekatan reformasi juga perlu mengambil kira keadaan politik dan pentadbiran semasa, termasuk keperluan memastikan perubahan itu mempunyai asas yang kukuh dan dapat dilaksanakan secara berperingkat.
“Ada yang mengandaikan pada masa itu, kita bisa ubah semua sekali gus. Saya ingin ingatkan, kadang-kadang rakan-rakan pada ketika itu dalam Jemaah Menteripun tidak sehandal bila di luar.
“Kita tahu perubahan itu harus bertapak, berperingkat. Ini bukan sebagai dalih untuk mengelak. Kita juga belajar dan sentiasa saya ingatkan, jangan gopoh seperti mana pesanan yang saya ungkapkan dalam beberapa sidang dan kongres Keadilan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memperkukuh agenda reformasi berdasarkan keupayaan dan keadaan semasa, sambil memastikan perubahan yang dilaksanakan membawa manfaat kepada rakyat serta mengukuhkan institusi negara.
















Tinggalkan Balasan