Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Zahir Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

SHAH ALAM, 1 Jun — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini. 

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, dilanjutkan usia dalam keberkatan serta terus berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT untuk memayungi negara serta memimpin rakyat dengan penuh kebijaksanaan dan wibawa.

“Sultan Selangor turut menyokong dan menyambut baik titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” menurut hantaran itu. 

Sultan Sharafuddin bertitah rakyat jelata khususnya generasi muda mestilah memahami, menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai yang termaktub dalam Rukun Negara demi mencapai kehidupan yang harmoni dan aman damai dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.