KUALA LUMPUR, 11 Sept — UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menggariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun kemerdekaan negara sekiranya gabungan itu kembali menerajui Putrajaya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata agenda berkenaan bukan sekadar membawa maksud gelombang biru, sebaliknya mencerminkan aspirasi untuk membina Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama, serta Unggul dan Disegani Dunia.
“Dengan Agenda Malaysia Biru ini kita mahu mencipta kekayaan negara, membina semula modal insan, memperluas pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, naib-naib presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Agenda Malaysia Biru merangkumi lapan ikhtiar antaranya menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta.
“Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa, membeli jenama Malaysia. Kita mahu bergerak daripada mengeluarkan barangan Made in Malaysia kepada barangan Made by Malaysia.
“Negara mesti meletakkan sasaran syarikat berteknologi tinggi dan industri bertaraf global yang dicipta, direka dan dimiliki oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata UMNO, BN dan rakan-rakan kerjasama juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara berkemahiran dengan mengarusperdanakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu anak-anak kita sama ada di politeknik, GIATMARA, TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Kemahiran MARA, profesional huffaz, sekolah-sekolah pondok untuk sama-sama membentuk Malaysia menjadi sebuah negara berkemahiran tinggi.
“Kita menyasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperolehi gaji premium,” katanya.
Antara lain, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN mahu menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah cara menilai kejayaan ekonomi, seperti meletakkan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan.
Beliau berkata menerusi Agenda Malaysia Biru, gabungan itu juga akan menyusun semula keutamaan negara, antaranya dengan penstrukturan percukaian termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar yang munasabah.
Ahmad Zahid berkata agenda itu turut akan menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pada masa yang sama, kita mahu memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam, melindungi kebajikan guru, mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dilaksanakan sebagai agenda seluruh kerajaan,” katanya.
PAU 2026 yang disertai 3,016 perwakilan berlangsung selama empat hari hingga esok.
















Tinggalkan Balasan