1 Rumah 1 Jalur Gemilang: JAPEN Seru Rakyat Mulakan Di Rumah, Hormati Etika Pemasangan Bendera

ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) — Jabatan Penerangan (JAPEN) Kedah menyeru seluruh lapisan masyarakat di negeri ini untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 melalui Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.

Pengarah JAPEN Kedah, Nurazila Azizan berkata inisiatif kempen itu membawa seruan mudah kepada rakyat untuk menzahirkan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air dengan memulakan kibaran bendera di kediaman masing-masing.

“Bulan Ogos sememangnya sinonim dengan Hari Kebangsaan, anak-anak di tadika juga tahu mengenainya. Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memulakan langkah memasang Jalur Gemilang di rumah agar anak-anak melihat semangat tersebut dan teruja untuk mempraktikkannya.

“Harga bendera tidak semahal mana, keluarkan sedikit peruntukan untuk menghiasi rumah dengan Jalur Gemilang … itu bukti nyata tanda sayang kepada negara,” katanya pada sesi temu bual bersama Radio Malaysia Kedah FM bersempena  dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha berkenaan tidak sepatutnya terhad di kawasan rumah sahaja, tetapi perlu diperluas ke premis kerajaan, premis perniagaan, pihak swasta, sekolah serta kenderaan.

“Bagi memastikan kempen ini meluas dan memberi impak, JAPEN telah menggerakkan semua jentera untuk turun ke padang bagi mendekati rakyat. Selain itu, Komuniti MADANI turut diperkasakan sebagai ejen penyebar maklumat untuk menyampaikan mesej-mesej penting ini kepada komuniti setempat.

“Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang ini turut diperluas kepada sembilan kluster utama, antaranya institusi pendidikan, kesihatan, keselamatan, industri, rumah ibadat, dan sukan. Melalui pendekatan yang santai dan mudah difahami, JAPEN mengambil peluang bercerita mengenai Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan golongan muda selaku pewaris negara, Nurazila menyangkal tanggapan bahawa generasi muda atau Gen Z tidak mempunyai semangat patriotik, sebaliknya mereka mempunyai cara tersendiri yang lebih kreatif berbanding generasi terdahulu.

“Mereka menzahirkan perasaan cinta akan negara melalui penghasilan bahan kreatif, mencipta lagu, dan menghasilkan kandungan menarik dalam media sosial. Kita tidak boleh paksa golongan muda untuk ikut cara lama, mereka boleh ikut cita rasa sendiri, asalkan tidak lari daripada landasan dan tidak menyentuh isu sensitif.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi etika dan tatacara betul pemasangan bendera. Bendera yang dipasang mestilah dalam keadaan sempurna dan tidak boleh dipasang sesuka hati,” katanya.

Untuk mengelakkan sebarang kesilapan, orang ramai dinasihatkan merujuk panduan rasmi melalui portal rasmi Merdeka360 di www.merdeka360.my.