KUALA LUMPUR, 26 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang akan bersara secara rasmi esok.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih atas segala khidmat bakti dan pengorbanan Ayob Khan sepanjang hampir 35 tahun mencurahkan jasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.
“Saya mendoakan semoga Tan Sri sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan ruang untuk menyumbang pengalaman dan kebijaksanaan kepada negara walau dalam apa jua peranan selepas ini.
“Selamat melangkah ke fasa baharu kehidupan bersama keluarga tercinta. Saya mendoakan semoga segala jasa dan pengorbanan Tan Sri mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT,” katanya.
Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 selepas menggalas pelbagai jawatan penting dalam PDRM, antaranya sebagai Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Susulan persaraannya, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Ibrahim Darus dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

















Tinggalkan Balasan