AKPS Gagal Cubaan Seludup 45 Tanduk Haiwan Di LTAPP

GEORGE TOWN, 22 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup 45 unit barangan hidupan liar disyaki tanduk haiwan dianggarkan bernilai RM5,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, Khamis lepas.

AKPS memaklumkan barangan berkenaan ditemukan hasil pemeriksaan bagasi seorang penumpang lelaki warga Indonesia yang tiba dari Guangzhou, China dengan menaiki penerbangan China Southern.

“Lelaki berusia 57 tahun itu didapati membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716,” menurut kenyataan itu.

Kesemua 45 unit barangan disyaki tanduk haiwan itu kemudian disita dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk siasatan lanjut.