KUALA LUMPUR, 6 Sept — Amerika Syarikat (AS) tidak pernah cuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia, kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS David H. Gamble Jr.
“Sebarang kenyataan yang bertentangan adalah palsu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Kenyataan ringkas itu dikeluarkan selepas Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada parti berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mengambil alih pentadbiran.
Abdul Hadi membuat dakwaan itu ketika ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Beliau berkata perkara itu timbul apabila PAS merupakan sebahagian daripada bekas gabungan Pakatan Rakyat, semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada 2014, selain mendakwa Duta Besar AS kemudian meminta mengadakan pertemuan dengannya dan bertanyakan cadangan PAS bagi calon perdana menteri.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) G. Sivamalar menggesa Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan atau menariknya semula dan memohon maaf, kerana perkara itu menyentuh soal campur tangan asing, keselamatan nasional dan kedaulatan negara.
“Kedutaan AS kini telah membuat penafian secara terbuka dan tegas bahawa AS tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia serta menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu. Maka, kita kini berhadapan dengan dua kenyataan yang jelas bercanggah. Siapa yang bercakap benar?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata Abdul Hadi perlu menjelaskan identiti pegawai AS yang didakwa membuat tawaran itu, bentuk bantuan yang ditawarkan, individu yang hadir serta sama ada terdapat rekod, komunikasi atau saksi untuk mengesahkannya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara itu didiamkan selama kira-kira 12 tahun dan sama ada PAS pernah melaporkannya kepada polis, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara atau kerajaan ketika itu.
“Ini bukan soal mempertahankan AS. Ini soal mempertahankan Malaysia. Jika benar sebuah kuasa asing cuba mencampuri proses politik negara, perkara ini mesti disiasat dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya sambil menegaskan tuduhan tanpa bukti boleh menjejaskan hubungan diplomatik serta kredibiliti Malaysia.
Sivamalar turut menggesa pihak berkuasa meneliti perkara itu dan Abdul Hadi memberikan kerjasama penuh dengan mengemukakan segala bukti yang dimilikinya.
“Dakwaan sebesar ini tidak boleh berakhir sebagai modal ceramah. Buktikan, atau tarik balik dan mohon maaf,” katanya.

















Tinggalkan Balasan