KUALA LUMPUR, 28 Julai — Depoh tahanan Imigresen tidak boleh digunakan bagi menempatkan 113 pelarian termasuk 110 warga Rohingya yang kini berada di bawah pengawasan sementara Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata depoh tahanan Imigresen hanya digunakan bagi menempatkan warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata mana-mana individu yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dibenarkan berada di Malaysia atas dasar kemanusiaan, namun kedudukan mereka tetap tertakluk kepada undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
“Kesemua 113 pelarian ini tidak boleh ditempatkan di depoh tahanan Imigresen. Mereka kini berada di bawah pengawasan sementara pihak PDRM, sementara menunggu penetapan penempatan mereka dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria menegaskan walaupun pemegang kad UNHCR diberikan kebenaran berada di negara ini atas faktor kemanusiaan, pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan negara.
Setakat ini, keputusan berhubung lokasi baharu penempatan kesemua pelarian itu masih belum dimuktamadkan dan mereka masih ditempatkan sementara di Dataran Wira, IPK Kuala Lumpur sebelum menerima arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

















Tinggalkan Balasan