KANGAR, 2 Sept — Hasil penyelidikan tidak seharusnya sekadar tersimpan dalam bentuk laporan, jurnal atau penerbitan semata-mata, sebaliknya ilmu dan penemuan dihasilkan itu perlu dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran sebenar.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penyelidikan merupakan antara pemangkin penting dalam membawa kemajuan dan pembangunan negara, yang sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat serta memelihara alam sekitar.
“Dalam kita terus meneroka bidang baharu dalam Sains dan Teknologi, kita juga perlu memastikan setiap kemajuan yang dicapai mengambil kira kepentingan alam sekitar dan generasi akan datang.
“Kemajuan yang sebenar bukan hanya tentang sejauh mana kita mampu melangkah, tetapi sejauh mana kita mampu mencipta perubahan yang memberi manfaat dan terus dirasai oleh generasi akan datang,” titah baginda dalam kenyataan Istana Arau hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian, ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Global Trends in Engineering and Science Technology Congress (GTEST) 2026, di Pulau Pinang semalam.
Raja Muda Perlis turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan komitmen dalam membentuk graduan UniMAP, yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran malah mempunyai keupayaan untuk memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Menurut kenyataan itu kongres antarabangsa anjuran UniMAP itu menjadi wadah penting menghimpunkan akademia, penyelidik, jurutera serta pakar industri dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, meneroka perkembangan terkini dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang kejuruteraan serta sains dan teknologi.
“Penganjuran GTEST 2026 kali ini turut memperkukuh jalinan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik bersama-sama Tokyo University of Science (TUS), Jepun selain menggabungkan beberapa persidangan berprestij termasuk Western Belt Electronics Technology Conference (WESTAC) 2026; IQ-SITE 2026 dan IC-BUSCLi 2026,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa bersempena dengan majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UniMAP dengan rakan strategik daripada sektor industri dan akademia.
Menurut kenyataan itu kerjasama berkenaan, mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memperluas jaringan strategik bersama industri, memperkasa ekosistem penyelidikan serta memastikan kepakaran dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
Baginda juga berkenan menyaksikan penyerahan cek geran penyelidikan daripada pihak industri kepada UniMAP, sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan universiti.
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada penghasilan penyelesaian berasaskan penyelidikan, malah memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam menangani keperluan serta cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.
















Tinggalkan Balasan