GEORGE TOWN, 5 Sept — Perkampungan bersejarah Pulau Pinang, Jeti Chew di sini tidak terjejas secara langsung dalam kebakaran yang memusnahkan lima premis perniagaan awal pagi tadi kerana tapak kebakaran terletak 20 meter dari perkampungan rumah kayu di atas air itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri bagaimanapun bersedia membantu pemilik lima premis perniagaan itu, termasuk sekiranya berhasrat membina semula premis mereka.
“Ini melibatkan tanah kerajaan, saya percaya pemilik premis ini sama ada penyewa ataupun pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
“Saya rasa mereka mungkin minat untuk membina semula apa yang telah terbakar, jadi pihak kerajaan negeri akan membantu dalam proses ini,” katanya selepas membuat tinjauan di kawasan kebakaran itu hari ini dan turut bersama Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam kejadian 1.08 pagi tadi, sebanyak lima premis perniagaan berhampiran kawasan Jeti Chew di sini termasuk bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barang lusuh dan kilang kayu, musnah dalam kebakaran, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Mengulas lanjut, Chow berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan bantuan pasukan Bomba Sukarela berjaya mengawal kebakaran dan kerja mengalihkan kayu sedang dijalankan kerana masih terdapat kesan kebakaran melibatkan kayu binaan di kawasan tersebut.
Terletak di pesisir pantai bersejarah George Town, Jeri Chew merupakan perkampungan rumah kayu di atas air yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menjadi kediaman turun-temurun masyarakat Cina sejak abad ke-19 dan antara yang tertua di Pulau Pinang.

















Tinggalkan Balasan