KUCHING, 7 Mei — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu semalam.
JIM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan serbuan awal dijalankan di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako selepas pihak penguat kuasa mengesan kehadiran beberapa warga asing dipercayai telah lama berada di kawasan berkenaan.
“Operasi yang turut dibantu pegawai LKIM itu berjaya menahan beberapa warga asing dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pasport sah.
“Pada sebelah petang, operasi diteruskan di dua rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Sungai Batu. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat warga asing dipercayai bekerja sebagai pekerja binaan tanpa dokumen sah,” menurut kenyataan itu.
JIM Sarawak memaklumkan pada sebelah malam pula, serbuan tertumpu di rumah pekerja dan bilik-bilik sewa dihuni warga asing di Pusat Komersial Lee Ling, kawasan perniagaan Pines Square Batu Kawa serta Taman Hui Sing.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

















Tinggalkan Balasan