NIBONG TEBAL, 18 Mei — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi dengan menggunakan kad fleet dalam serbuan di sebuah stor pemborong berlesen di sini hari ini.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata Ops Tiris 4.0 bersepadu itu dijalankan bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hasil risikan dan pemantauan sejak tiga minggu lepas.
“Pemeriksaan awal mendapati premis itu dipercayai dijadikan lokasi pemindahan minyak diesel daripada prime mover atau kepala lori yang mengisi bahan api di stesen minyak berhampiran menggunakan sistem kad fleet secara pembelian berulang.
“Kami menemukan 13 unit kad fleet yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel. Modus operandi sindiket ialah menggunakan kad fleet lori yang tidak bergerak atau rosak bagi mendapatkan bekalan diesel mengikut kuota yang dibenarkan sebelum dipindahkan ke tangki di stor berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Beliau berkata setiap lori dipercayai mampu membuat pengisian berulang hingga 13 kali sehari tanpa melebihi kuota yang ditetapkan dalam sistem kad fleet.
Jegan berkata hasil pemeriksaan di stor itu menemukan sebanyak 10,600 liter diesel di dalam lima tangki skid dan tangki asal prime mover yang bernilai RM53,000, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan, pam dan kamera litar tertutup (CCTV) dianggarkan RM205,000.
Beliau berkata pihaknya turut menahan tujuh lelaki berumur antara 50 hingga 60-an di lokasi yang dipercayai pekerja, pemandu lori dan pemilik stor bagi membantu siasatan, selain merampas resit pembelian dan dokumen perniagaan.
Katanya, kes itu disiasat menurut Peraturan 3(1) dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu pemborong atau peruncit yang menjual barang kawalan tanpa lesen dan membeli barang kawalan daripada sumber tidak sah.

















Tinggalkan Balasan