KPWKM Sedia Beri Bimbingan Psikososial Kepada Keluarga Allahyarham Irene Sofiya – Nancy

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan bimbingan psikososial kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang disyaki dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada keluarga remaja berusia 16 tahun itu untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

“Setakat ini belum ada ahli keluarga yang tampil bagi mendapatkan bantuan (bimbingan) psikososial, tetapi kami (kementerian) bersedia sekiranya mereka memerlukannya. Kami juga mengambil pendekatan berhati-hati kerana tidak mahu mengganggu keluarga mangsa yang masih lagi dalam keadaan berduka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Forum Kebahagiaan Rumah Tangga anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Nancy berkata KPWKM masih belum mengadakan libat urus rasmi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung sokongan psikologi kepada pelajar, namun perbincangan secara tidak rasmi telah dilakukan.

Katanya, dalam perbincangan sebelum ini, beliau pernah mencadangkan supaya aspek kaunseling diberi perhatian, namun dimaklumkan bahawa KPM mempunyai kaunselor sendiri dengan jumlah dianggarkan antara 7,000 hingga 8,000 orang.

Nancy berkata KPWKM melalui Lembaga Kaunselor Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan KPM sekiranya diperlukan.

Sabtu lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit pada kira-kira 5.50 petang.

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan, sebelum seorang daripada mereka direman selama enam hari hingga 9 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.