Krisis Bekalan Global: Kerajaan Perkukuh Tindakan Lindungi Rakyat – Ramanan

KUALA LUMPUR, 28 April — Keutamaan Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan bukan sahaja berupaya menstabilkan harga, malah menjamin kesinambungan bekalan barangan asas serta melindungi rakyat daripada lonjakan kos secara mendadak susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata pendekatan yang diambil kerajaan dalam mendepani krisis bekalan global kekal berpaksikan data yang teliti, disokong oleh libat urus strategik bersama pihak industri serta pelaksanaan tindakan pantas dan berkesan di lapangan.

“Antara fokus utama termasuklah usaha menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos sara hidup, memastikan pembangunan terus berjalan tanpa gangguan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan isi rumah. 

“Pada masa sama, kerajaan terus memperkukuh daya tahan ekonomi bagi jangka masa panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh untuk berdepan ketidaktentuan global,  ia perlu diterjemahkan melalui tindakan yang tersusun, berani dan tegas demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Terdahulu, Ramanan yang menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)  dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan tertumpu kepada usaha menyeluruh dalam menangani tekanan rantaian bekalan global, kenaikan kos bahan mentah serta kesannya terhadap kos sara hidup rakyat susulan konflik di Asia Barat.