Linyi University Sasar Bina Kerjasama Akademik Mampan Dengan Malaysia

LINYI (Shandong), 28 Okt — Linyi University berhasrat membina kerjasama mampan dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan meletakkan asas kukuh bagi pertukaran tenaga akademik jangka panjang, projek penyelidikan bersama-sama dan platform akademik kolaboratif, kata Dekan Sekolah Antarabangsa Aplikasi Sumber Biologi universiti itu Jiang Zhaozi.

Jiang yang juga Pengarah Pejabat Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa berkata universiti serantau seperti Linyi University memainkan peranan penting sebagai jambatan dalam pertukaran tenaga manusia, inovasi saintifik dan pemerkasaan bakat muda.

“Dialog ini amat istimewa kerana kerana menumpukan kepada sarjana doktor falsafah muda. Sebagai penyelidik pada peringkat awal kerjaya, anda mewakili masa depan dunia akademik global.

“Pandangan kritikal, metodologi inovatif dan perspektif global anda amat kami perlukan untuk menangani cabaran bersama pada peringkat serantau dan global, sama ada dalam penaiktarafan industri, pembangunan mampan atau komunikasi antara budaya,” katanya.

Jiang berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada sesi pertukaran akademik khas Exploring Linyi, Engaging China-Malaysia: International Perspectives on Linyi and Dialogue with Young Doctoral Scholars di Bilik Persidangan Pusat Alumni Linyi University di sini baru-baru ini.

Mengenai keupayaan institusi itu untuk kerjasama global, Jiang memaklumkan Linyi University kini mempunyai 52,000 penuntut dan telah menjalin kerjasama dengan lebih 150 universiti di lebih 30 negara.

Beliau berkata hubungan antara China dan Malaysia telah memasuki era perkongsian berkualiti tinggi yang tidak pernah berlaku di bawah Belt and Road Initiative, sekali gus menjadikan jambatan pendidikan seperti itu semakin penting.

“Menerusi seminar ini, kami berharap dapat memperdalam kefahaman dengan menawarkan rakan sejawat dari Malaysia untuk membuat pemerhatian empirikal sendiri mengenai daya hidup sosioekonomi dan pertumbuhan akademik di Linyi,” katanya.

Memetik peribahasa Cina lama “pengetahuan yang diperoleh daripada buku masih cetek, pengalaman sebenar datang daripada amalan peribadi”, Jiang menggalakkan sarjana muda supaya bersuara dengan terbuka, berani berkongsi dan berfikir secara global bagi mencetuskan kerjasama akademik.

Dianjurkan oleh Persatuan Kemajuan Perdagangan dan Ekonomi Malaysia-China (MCTEAA), sesi itu menghimpunkan 10 calon Doktor Falsafah (PhD) daripada latar belakang akademik Malaysia dan China, wakil media serta ahli fakulti.

Sesi itu dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Media Bersepadu MCTEAA Li Xiaoyan dan diselaraskan dengan sokongan Stesen Perkhidmatan Komprehensif Luar Negara Malaysia Linyi yang diketuai oleh Li Qian.

Stesen itu berfungsi sebagai penghubung penting antara komuniti perniagaan Linyi dan Malaysia dengan mempromosikan padanan perniagaan secara aktif, peluang pelaburan serta menghubungkan syarikat Malaysia dengan sumber komersial di Linyi.

Pada sesi tersebut, wakil Pusat Pembangunan Calon PhD MCTEAA Deng Wenqin memperkenalkan kepelbagaian latar belakang profesional delegasi bagi meletakkan asas untuk dialog merentas budaya manakala peserta membentangkan dapatan daripada lawatan lapangan mereka.

Susulan perbincangan itu, peserta menubuhkan kumpulan dalam talian khas untuk penyelidikan bersama antara China dan Malaysia yang menetapkan hasrat permulaan bagi perkongsian data akademik dan penyelidikan empirikal masa depan mengenai pasaran ASEAN.