PUTRAJAYA, 6 Nov — Malaysia berminat untuk meneroka kerjasama dengan Brazil dalam sektor pertanian bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, khususnya dalam memenuhi keperluan import jagung bijian dan produk ternakan ayam, selain memperluas perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perkara itu antara dibincangkan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak pada kunjungan hormat Duta Besar Brazil ke Malaysia Daniella Ortega de Paiva Menezes semalam.
“Malaysia menyatakan hasrat untuk menerokai kerjasama dengan Brazil bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara memandangkan Malaysia adalah pengimport yang besar bagi jagung bijian dan produk poltri.
“Malaysia juga menzahirkan kepentingan untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan seperti buah belimbing dan nanas ke Brazil bagi menyeimbangkan perdagangan pertanian kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan pertemuan itu bertujuan membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brazil dalam sektor pertanian dan agromakanan, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian serta perdagangan dan akses pasaran produk pertanian.
“Perbincangan turut menyentuh mengenai kerjasama penyelidikan dan pembangunan pertanian antara Brazilian Agricultural Research Corporation (EMBRAPA) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Kerjasama ini berpotensi membuka ruang perkongsian kepakaran, teknologi dan hasil penyelidikan dalam bidang pertanian bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan dalam pertemuan itu, Menezes menyatakan penghargaan kerana Brazil berpeluang menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bagi mempromosikan produk pertanian, teknologi serta kepakaran negara itu.
Beliau turut memberi indikasi awal bahawa negara itu berhasrat untuk menyertai MAHA pada 2028 susulan maklum balas positif yang diterima daripada penyertaan edisi tahun ini.














Tinggalkan Balasan