IPOH, 16 Mei — Malaysia tidak akan memberi tumpuan atau pertimbangan terhadap isu pengampuan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebarang permohonan pengampunan membabitkan Jho Low tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan tindakan jenayah yang dikaitkan dengannya amat berat dan menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Tetapi (semalam) timbul kekeliruan mengenai soal Jho Low… (bila) saya katakan tidak berbangkit bukan maknanya tiada isu… saya kata tidak akan pertimbangkan sama sekali kalau dia memohon pengampunan.
“Terlibat dalam kecurangan, jenayah (sehingga menyebabkan) kerugian kita berbilion, takkan pula nak mohon pengampunan,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beberapa laporan media semalam menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian Malaysia mengenai perkara itu.
“Bila saya sebut tidak diberi pertimbangan, ada setengah media lapor cara lain… maksud saya, bila saya sebut tak berbangkit, maknanya (ia) bukan isu untuk kita beri tumpuan dan pertimbangan,” katanya.
Pada Selasa lepas, media asing melaporkan bahawa Jho Low yang didakwa oleh pihak berkuasa Amerikan Syarikat (AS) sebagai dalang penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, dipercayai mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden Donald Trump beberapa minggu lepas.
Menurut laporan itu, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, pertuduhan jenayah di AS terhadap Jho Low akan digugurkan.
Laporan sama turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan atas nama Taek Jho Low sebagai “pending” bagi “Pardon after Completion of Sentence”.
Ahli perniagaan itu didakwa pada 2018 kerana menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad namun sehingga kini, beliau masih bebas dan diburu oleh pihak berkuasa.

















Tinggalkan Balasan