Wanita Didakwa Bagi Anak Berusia Setahun Minum Racun

SEREMBAN, 16 Mei — Seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai diberi minum racun rumput oleh ibunya di sebuah rumah di Bandar Sunggala Telok Kemang, Port Dickson dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Maslan Udin berkata pihaknya menerima makluman daripada Hospital Port Dickson pada 11.50 malam berhubung pesakit warga Myanmar berusia 21 tahun dan anaknya dipercayai meminum racun.

“Kejadian berlaku kira-kira 9 malam dan siasatan mendapati wanita itu terlebih dahulu meminum racun rumput sebelum memberi anaknya racun sama, iaitu jenis Protocol.

“Kejadian dipercayai berlaku kerana wanita itu mengalami tekanan perasaan sejak melahirkan anak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maslan berkata keadaan dua beranak itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata polis telah menahan bapa kepada kanak-kanak itu yang juga warga Myanmar berusia 29 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.