KUALA TERENGGANU, 3 Ogos — Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menanggung kos sebanyak RM40,000 bagi operasi pembersihan sampah di tapak program RXZ Members 8.0, di Litar Permotoran Gong Badak dekat Kuala Nerus yang berlangsung pada Jumaat hingga Sabtu lepas.
Datuk Bandar Kuala Terengganu Lizan Che Mamat berkata kos tersebut melibatkan bayaran kerja lebih masa petugas, tambahan perjalanan lori serta waktu operasi di tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan, di sini.
Beliau berkata walaupun pihaknya sudah menyediakan tong sampah di lokasi berkenaan, masih terdapat segelintir peserta yang bertindak membuang sampah merata-rata.
“Sekitar 130 tan sisa pepejal terutama plastik makanan dan minuman dikutip di tapak program RXZ Members 8.0. Jadi kita terpaksa menambah bilangan trip kutipan sampah dan petugas MBKT juga terpaksa bekerja lebih masa memastikan kebersihan bandaraya terjaga.
“Kami memahami kemungkinan bilangan tong sampah yang disediakan tidak mencukupi kerana bilangan peserta yang datang melebihi 100,000 orang, tetapi sepatutnya sampah dikumpul di suatu tempat dan bukannya di buang di merata-rata,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu Lizan berkata MBKT akan meneliti cadangan untuk mewajibkan penganjur mana-mana program agar mengemukakan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai syarat kelulusan sebarang penganjuran acara berskala besar pada masa akan datang.
Selain itu, katanya, penilaian semula kadar deposit pembersihan juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban yang ditanggung pihak berkuasa tempatan.
“Kami amat mengalu-alukan penganjuran sebarang aktiviti atau program berskala besar di Terengganu kerana ia akan merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi. Namun kita ingin mengingatkan bahawa tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
















Tinggalkan Balasan