Melaka Teliti Cadangan Tetapkan Gaji Asas RM2,500

MELAKA, 5 Sept — Kerajaan Melaka akan meneliti cadangan menjadikan negeri itu antara yang terawal menetapkan gaji asas antara RM2,500 hingga RM2,800 sebelum mengemukakan syor mengenainya kepada kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata penelitian dan penilaian akan dibuat daripada pelbagai sudut bagi memastikan cadangan berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita akan cuba melihat dari segala sudut dan penilaian ini akan dibuat, seterusnya memberikan cadangan ini kepada kerajaan pusat.

“Ini supaya anak-anak muda kita mempunyai pendapatan yang lebih baik untuk membina masa depan mereka di negeri ini,” katanya selepas menghadiri sesi “Town Hall” bersempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri juga memberi jaminan akan membuka peluang kepada golongan wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya kerana pelbagai faktor menerusi perkembangan projek baharu di negeri ini.

“Melaka ini memang mempunyai ruang namun tidak banyak. Insya-Allah saya akan tengok, macam di Pelabuhan Tanjung Pelepas yang pernah memberi peluang kerja kepada wanita sebagai pemandu trak kontena di kawasan pelabuhan. 

“Jadi kita akan lihat peluang yang serupa di Inland Port, yang kedua terbesar di Malaysia di Alor Gajah. Kita akan tengok jika ada kerja bersesuaian yang boleh diberikan sebagai peluang kedua untuk mereka ini menempuh kehidupan,” katanya. 

Mengenai karnival yang berlangsung sejak semalam hingga esok, beliau berkata penganjuran karnival berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri menyediakan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk melihat pelbagai peluang yang boleh membentuk masa depan mereka.

Beliau berkata pelbagai program dilaksanakan menerusi karnival itu termasuk program bersama Jom Heboh, Karnival Kerjaya dan Karnival Kemahiran selain sesi “Town Hall” yang memberi peluang kepada golongan muda memahami hala tuju pembangunan masa depan negeri.

“Kita mesti memandu dan memberikan arah tuju kepada anak-anak muda supaya mereka melihat bahawa di Melaka ini ada ruang yang boleh memberikan mereka harapan untuk masa depan. 

“Golongan ini juga perlu merebut peluang untuk terlibat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sudah pastinya menjanjikan masa depan berbeza,” katanya.